Selasa, 11 Mei 2010

LENAKU TERGANGGU

Jam 5 pagi, aku terjaga dari lena. Biasanya mata aku tertutup lena semula walaupun sesudah ke kamar kecil. Tapi kali ini sangat susah untuk lelapkan semula. Puas aku mencari ruang selesa untuk tidur semula. Tapi masih tak berjaya.

Ada baiknya aku bingkas. Keluar dari kamar yang dingin dari ke hulu ke hilir mencari ruang yang tak bisa aku temui.

Dan aku berteleku di meja makan, di mana menjadi ofis aku sejak dari dulu lagi. Kat sini, segala idea aku dikerah dan di sini juga aku menikmati juadah hidangan isteriku.

Hari ini, masa telah membawa aku ke tarikh ini... 11 Mei 2010. Terasa masa begitu sangat pantas berlari. Bisakah aku mengejar masa yang begitu pantas ini.

Segenap ruang aku dihinggapi rasa rindu mendalam pada ibu di kampung. Entahlah, dua tiga menjak ini, ada nada-nada rindu menerjah di benak fikiran. Rasa mahu terbang ke desa meluak-luak. Tapi apa kan daya, aku tak punya sayap untuk terbang.

Aku biarkan rasa rindu itu bersarang kerana bak kata orang rindu itu satu anugerah. Betul?

Hari ini, aku perlu selesaikan satu advertorial. Selalunya aku lunaskan kerja seperti ini di saat akhir. Memang itu dah jadi tabiat aku. Kadang-kadang ada baik dan buruknya. Baiknya, kerja aku cepat selesai sebab idea datang seperti kilat dan aku bergerak cepat. Buruknya, masa seperti mahu menjeratkan aku dan apabila terjerat dengan masa segala aturan harian aku akan terjejas.