Rabu, 5 Disember 2018

BYE MEKAH

Berat hati rasanya nak tinggalkan tempat suci ni. Banyak pengalaman baru ditimba dan aku lalui dengan penuh insaf. Berserah. Jiwa tenang berada di sini. Tiada kedengaran keluh kesah. Fikiran terhindar dari kerisauan pada dunia.

Kerja pun malas nak sentuh. Betul betul aku bercuti kali ini. Enam hari rasanya tak cukup untuk mencuci dosa. Di sini masa seakan berlari dengan begitu pantas. Bangun jam 4 pagi. Subuh jam 5.25 pagi, Zuhur 12.13 tengahari, Asar jam 3.18 petang, Maghrib 5.39 dan Isya' jam 7.09 malam. Di pertengahan masa solat tu rasa cepat sangat.

Mungkin yang kerap datang pernah mengalami dan faham apa yang aku cuba sampaikan. Di sini, kau akan rasa diri dekat dengan kematian kerana setiap kali selesai solat wajib akan ada solat jenazah. Hampir kesemua jemaah akan solat.

UMRAH 2018

Ganjarannya sangat besar. Sepanjang berada di sana kita kena tahu beberapa sudut, tempat atau sudut untuk solat dan doa yang mustajab. Ini tak termasuk sesiapa yang menunaikan solat wajib di Masjidil Haram akan mendapat 100,000 kali ganda pahala berbanding di masjid lain di dunia. Haa... mana nak dapat weiiii!

Sekarang baru aku faham kenapa ramai selebriti tak jemu dan kerap datang mengerjakan umrah saban tahun. Rupanya ada rahsia dan hikmah tersendiri. Semua bergantung pada niat kita.

Hari ni, dengan hati redha, terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat Tanah Haram Bumi Mekah. Dalam hati hanya Dia sahaja yang tahu. Sayu dan sebak untuk berpisah. Lepas ni, pasti rasa rindu nak datang ke Tanah Suci lagi. Doakan moga aku dapat kembali ke sini lagi. Semasa coretan ini dilakar, Budiey dalam perjalanan ke Kota Madinah dengan menaiki bas. Perjalanan memakan masa lebih kurang 6 jam.

Semoga perjalanan sebagai penziarah Nabi Muhammad SAW tercapai dan selamat. Amin.

Inshaallah saya akan sampaikan salam semua buat Nabi Muhammad S.A.W dan saya doakan anda semua dikurniakan rezeki untuk ke sana juga. Sama sama kita aminkan.