Jumaat, 30 November 2018

MEKAH

Pertama kali mengerjakan ibadat Umrah merupakan satu pengalaman yang sangat menyeronokan. Mendebarkan pun ada. Mensayukan pun ada. Pendek kata, macam-macam perasaan yang berbaur. 

Yang penting, hati aku tenang sangat sepanjang berada di Mekah. Takde nak fikir tentang kerja sangat sebab aku memang niat nak bercuti. Niat nak berada di tempat yang paling mulia. Paling nyaman. Paling damai. Niat pun kena baik semasa berada kat sini. 

Pengalaman yang sukar nak cerita sebenarnya semasa pertama kali aku melihat Kaabah. Perasaan yang aku rasakan sukar untuk diungkapkan dengan perkataan. 

Umrah 2018


Sukar untuk digambarkan perasaan ini tatkala kali pertama memandang Kaabah di depan mata. Aku sebak, sayu dan rasa takjub dengan ciptaan Allah Maha Kaya. Di tengah lautan manusia yang datang dari segenap pelosok dunia ini, aku dapat rasakan aura dan vibes yang luar biasa meresap dalam jiwa. 
Pengalaman yang belum pernah dirasai sepanjang hayat oleh insan pendosa seperti aku. Tipulah sesiapa yang menatap Kaabah kalau diorang bilang tak menangis langsung. Sekurang-kurangnya rasa sebak tu mesti ada punya. 

Apa yang lebih penting adalah rasa kesyukuran. Tuhan masih izinkan untuk Budiey menjejakkan kaki ke sini untuk mencuci dosa, mengikis rasa cinta pada duniawi yang fana dan membersih hati yang penuh daki dan kekotoran yang bersisa. 

Ya Rabb... aku doakan semua kawan-kawan yang menonton menatap Kaabah ini menerima jemputan dariMu untuk ke Tanah Suci. Semoga satu hari nanti kalian juga bakal diundang sebagai penziarah Nabi SAW. Syukur, dengan peluang masa yang ada saya dapat sampaikan hasrat dan doa kawan-kawan di depan Kaabah.

Di lokasi penuh barakah di mana doa takkan ditolak. Yakinilah Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah dan mendengar setiap ratapan doa hambaNya. Semoga semua doa dimakbulkan Allah... Amin... 

Doakan juga untuk aku mendapat peluang untuk ke Tanah Suci lagi selepas ini. Amin...

Umrah 2018

Sepanjang berada kat sana, aku ada menerima mesej dan pesanan doa dari teman di Facebook. Maka, aku pun takde la nak ignore... tapi aku berusaha untuk tunaikan permintaan mereka. 

Ada juga doa-doa yang aku layangkan buat insan-insan yang nama mereka sentiasa terpahat dalam hati ini. Walaupun mereka sudah tiada di sisi... tapi kasihnya tetap terukir mengisi ruang jiwa dan minda. 

Ini antara sample dan contoh doa yang boleh kita baca di hadapan Kaabah, mendoakan buat teman-teman kita. 
  1. Bismillah... Semoga dia sekeluarga sentiasa dilindungi ALLAH, mendapat rahmat kasih sayangmu, dimurahkan rezekinya Ya Allah, tenang dalam kehidupannya, kau berilah kesihatan kepadanya, dimajukan dalam kariernya. Lepaskanlah mereka dari kesempitan hidup, rezekikanlah mereka agar mampu memiliki apa sahaja Makbulkanlah doa ini ya ALLAH, sesungguhnya hanya ALLAH Tuhan yang maha berkuasa maha pengasih dan maha penyayang kepada hambanya. Amin. 
  2. Bismillahirahmanirahim..Ya Allah Ya tuhanku kau ampunilah segala dosa Fiza Kamaruddin… kau berikanlah dia kekuatan untuk mengharungi penyakit yang dihadapinya. Kau permudahkanlah segalanya untuknya. Kau turunkanlah keajaibanmu agar kanser yang berada dalam tubuh badannya berkurang dan sembuh.. hilangkanlah kesakitan, turunkanlah rezeki yang melimpah ruah untuknya serta kau tetapkanlah imannya.. amin. 
  3. Bismillahirahmanirahim..Ya Allah ya tuhanku kau ampunilah segala dosanya... kau berikanlah dia kekuatan untuk mengharungi penyakit yang dihadapinya. Kau permudahkanlah segalanya untuknya. Kau turunkanlah keajaibanmu agar kanser yang berada dalam tubuh badannya berkurang dan sembuh. kau permudahkanlah biopsy yang akan di laluinya dan kau kurangkanlah kesakitannya. kau turunkanlah rezeki yang melimpah ruah untuknya serta kau tetapkanlah imannya.. amin
  4. LailahaillALLAH. Semoga sahabatku sekeluarga sentiasa dilindungi ALLAH, mendapat rahmatNya, dimurahkan rezeki, dan maju dalam kehidupan, perniagaan, karier serta sihat selalu. Berkatilah perniagaan dan karier sekeluarga serta anaknya  sekeluarga meningkat maju. Lepaskanlah mereka dari kesempitan hidup, rezekikanlah mereka agar mampu memiliki kediaman dan kenderaan mewah idaman serta berkemampuan membantu sesama ummah ke jalan ALLAH. Rezekikanlah mereka untuk kembali lagi ke tanah suci. Makburkanlah doa ini ya ALLAH, sesungguhnya hanya ALLAH tuhan maha berkuasa maha pengasih dan maha penyayang kepada hambanya.